Wednesday, December 10, 2008
SERAGAMKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH
Moral & Etika : Seragamkan undang-undang syariah
SEMENJAK negara dijajah dan hinggalah ke hari ini, Mahkamah Syariah kerap diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil.Para hakim dan pegawainya juga dipandang rendah berbanding hakim dan pegawai Mahkamah Sivil.Keadaan ini berlaku kerana Mahkamah Sivil merupakan Mahkamah Persekutuan, sementara Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Negeri. Sekiranya Mahkamah Syariah boleh diangkat tarafnya menjadi Mahkamah Persekutuan, sudah tentu Mahkamah Negeri Syariah boleh dijadikan Mahkamah Persekutuan, maka kedudukannya boleh dinaikkan taraf sama dengan kedudukan Mahkamah Sivil.Menurut sistem perundangan negara, sebarang kesalahan berhubung dengan pentadbiran Islam tertakluk kepada undang-undang syariah (enakmen pentadbiran undang-undang Islam) yang digubal di peringkat negeri (Dewan Undangan Negeri).Jika diperhatikan enakmen pentadbiran undang-undang Islam (hukum syarak) di kebanyakan negeri, kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah enakmen tersebut meliputi kesalahan yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian, bersekedudukan, zina dan khalwat, meminum minuman yang memabukkan, gagal menunaikan ibadah seperti bersembahyang Jumaat dan zakat, penukaran agama dan kesalahan lain seperti mengajar agama tanpa tauliah, mengajar ajaran sesat, menghina agama, mendirikan masjid, surau atau melakukan solat Jumaat di masjid yang tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri dan sebagainya.Bagi sesetengah negeri pula, peruntukan berkenaan dengan zina dimansuhkan langsung atau dipinda kepada khalwat dan mukadimah zina sahaja. Manakala meminum minuman yang memabukkan hanya dianggap sebagai satu kesalahan sekiranya dilakukan di khalayak umum.Walaupupun undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Tahun 1965 (pindaan 1984), namun dalam banyak perkara tiada keseragaman undang-undang dibuat di antara satu negeri dengan yang lain. Sebagai contoh, ada negeri yang boleh mengambil tindakan terhadap orang bukan Islam yang melakukan maksiat dengan orang Islam, dan ada yang tidak boleh mengambil tindakan. Dalam soal berpoligami pula, ada negeri membenarkan dengan mudah lelaki berkahwin lebih daripada satu (tanpa mendapat kebenaran isteri pertama).Sementara di negeri lain, proses untuk berkahwin lebih daripada satu agak rumit dan menyulitkan. Begitu juga dalam soal hukuman, ada negeri yang mengenakan hukuman sebat dan denda di atas kesalahan berzina, tetapi ada yang hanya mengenakan denda tidak sampai RM1,000.Kita terpaksa menerima hakikat bahawa dalam penyeragaman undang-undang tersebut di samping berlakunya perbezaan bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat, bahkan menjejaskan status agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini. Justeru itu, adalah wajar langkah segera diambil oleh pihak berkenaan agar pentadbiran dan undang-undang syariah dapat di satu, diselaras dan diseragamkan di antara kesemua negeri agar tafsiran negatif terhadap undang-undang pentadbiran Islam dihapuskan. Langkah sedemikian bukan sahaja menaikkan imej Mahkamah Syariah serta menyelesaikan banyak perkara dalam beberapa kes tertangguh, tetapi juga mengatasi kekurangan hakim dan pegawai di peringkat tersebut yang sebelum ini menyebabkan berlakunya penangguhan dan kelewatan perbicaraan, juga mencapai matlamat dan tahap keadilan yang diharap-harapkan.Bagi tujuan penyelarasan undang-undang syariah, dicadangkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa pusat, dan ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri, para ulama dan ahli undang-undang dengan dipengerusikan oleh seorang menteri yang dilantik untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan undang-undang syariah Malaysia.Tugas jawatankuasa ini termasuklah menggubal undang-undang untuk pentadbiran undang-undang syariah yang bukan sahaja meliputi kesalahan-kesalahan sebagaimana yang disebutkan tadi, tetapi juga melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah Islam lain seperti murtad, mencuri, merogol, membunuh, mencederakan orang serta melemparkan tuduhan palsu zina (Qazf) yang sebelum ini kesalahan-kesalahan tersebut terkandung dalam Kanun Keseksaan Negara yang dibicarakan di Mahkamah Awam (Sivil).Draf undang-undang ini kemudiannya dikemukakan kepada Parlimen untuk diluluskan di bawah Artikel 76 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan di samping meminda peruntukan perlembagaan dan akta-akta yang menyekat pelaksanaan undang-undang syariah atau yang menyempitkan bidang kuasa serta merendahkan taraf Mahkamah Syariah. Undang-undang ini boleh diterima oleh setiap negeri dan pelaksanaannya boleh dibuat apabila diterima dan dilulus oleh Dewan-dewan Undangan Negeri dan menjadi undang-undang negeri. Undang-undang yang dicadangkan itu juga hendaklah memperuntukkan pemakaian dan pelaksanaan proses dan arahan Mahkamah Syariah di seluruh negara.Dengan cara ini satu undang-undang syariah yang selaras di seluruh negara dapat diwujudkan dengan tidak sedikit pun menjejaskan hak-hak keistimewaan dan kedudukan oleh kuasa raja-raja sebagai ketua agama Islam bagi negeri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
SESIAPA YANG LEBIH ARIF TENTANG BIDANG INI, TOLONG BAGI TEGURAN YANG MEMBINA, APA YANG DITULIS HANYALAH PENDAPAT SAYA SAHAJA.
WALLAHU'ALAM