Wednesday, December 10, 2008

KONSEP WISOYAH : REALITI DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

1. Pendahuluan

Segala puji bagi Allah dengan limpah dan rahmatnya. Dengan penuh rasa kesyukuran dan ketakwaan dengan ini, kami telah berjaya menyiapkan kertas kerja yang bertajuk konsep wisoyah dan realiti perlaksanaannya atau lebih dikenali sebagai konsep pengamanah harta pada hari ini menjadi perkara yang asing di kaca mata masyarakat. Begitu juga dengan konsep wasiat masih terdapat golongan masyarakat yang kurang kefahaman terhadap aspek faraid di dalam wasiat. Namun begitu usaha kerajaan di dalam membentuk masyarakat yang bertamadun dan berilmu Amanah Raya Berhad telah ditubuhkan bagi menguruskan segala perihal wasiat dan faraid di kalangan masyarakat Islam pada hari ini. Selain itu ARB dapat memberikan kesedaran dan kefahaman terhadap kepentingan di dalam berwasiat. Perbezaan di dalam perlaksanaan konsep wasiat lebih merujuk kepada pemberian selepas kematian si mati. Manakala wisoyah lebih merujuk kepada pengamanah harta sebelum dan selepas kematian. Amanah Raya Berhad pada hari ini tidak melaksanakan pentadbiran harta melalui konsep wisoyah

Konsep wisoyah dan relaiti perlaksanaan adalah tajuk bagi kertas kerja ini. Berdasarkan kertas kerja ini perkara yang dihuraikan adalah berkenaan dengan perbezaan konsep wasiat dan wisoyah serta prosedur perlaksanaan wisoyah yang akan dihuraikan oleh kami di dalam Bab 2 dan Bab 3. selain itu di dalam Bab 2 turut diperjelaskan berkenaan dengan realiti permasalahan yang di lema oleh Mahkamah Syariah serta realiti permasalahan yang menjadi kekangan di dalam perlaksanaan syarak. Kefahaman masyarakat terhadap perlaksanan wisoyah adalah penting bagi merealisasikan tuntutan syarak. Kefahaman dan gambaran terhadap konsep wisoyah ini akan diperjeleskan di dalam Bab 3.

Akhir kalam kami di sini mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khususnya buat En Naziree Bin Md Yusof selaku pensyarah kami yang berkemahiran dari aspek perundangan di dalam program Diploma Syariah dan perundangan Islam yang telah memberi banyak dorongan dan tunjuk ajar kepada kami.. Sekian terima kasih.
2. Konsep wasiat dan wisoyah dari sudut makna

2.1 Pengenalan

Pada zaman Jahiliah, orang Arab melupuskan harta mereka sesuka hati sebelum kedatangan Islam datang memberi petunjuk yang berkaitan dengan wasiat ataupun pewarisan. Pewasiatan pada masa itu dilakukan secara bebas dengan mengenepikan ibu bapa, anak, dan isteri mereka. Kadangkala wasiat di buat kepada orang yang kaya dan berpengaruh.

Pewarisan harta si mati hendaklah dibahagikan kepada mereka yang mempunyai hubungan darah atau hubungan perkahwinan yang mempunyai tuntutan yang kuat bagi memperolehi hak pewarisan itu. Dengan ini, suatu pihak tidak boleh mengatasi pihak yang sepatutnya. Pembahagian harta di kalangan pihak yang menuntut menurut susunan berdasarkan kekuatan tuntutan secara semula jadi. Seperti dalam firman Allah ta’ala yang bermaksud :

“bapamu dan anakmu tiadalah kamu ketahui, siapakan di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya kapadamu”. (surah An-Nisa’ :11)

Dalam bab ini, kita dapat membezakan di antara wisoyah, wasiat, dan juga hibah yang sebelum ini kita menafsirkan bahawa wisoyah, wasiat, dan juga hibah membawa peranan yang sama tetapi sebaliknya. Dengan ini, penjelasan tentang perbezaan dalam skop pelupusan harta dapatlah kita perbetulkan penafsiran terhadap wisoyah, wasiat, dan juga hibah.

2.2 Definisi Wisoyah di dalam pengertian syarak

Wisoyah adalah suatu konsep pengamanahan dalam Islam adalah lebih tepat dan relevan dengan konsep (will) atau wasiat dalam undang-undang Sivil. Oleh yang demikian, konsep ini adalah paling sesuai untuk umat Islam merancang pusaka kerana pemegang amanah (wasi) boleh dilantik sebagai pelaksana segala arahan berkenaan pembahagian dan pentadbiran pusaka selepas kematian.

Wisoyah adalah suatu pelupusan harta yang berkonsepkan pengamanahan iaitu pewaris mengamanahkan hartanya kepada seseorang untuk diserahkan kepada penerima wasiat. Sebagai contoh, mewasiatkan harta kepada kanak-kanak yang belum mumayyiz iaitu kanak-kanak yang tidak tahu yang mana kebaikan mahupun keburukan.

Orang yang menerima wasiat mestilah mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada dia waras atau tidak, dewasa atau kanak-kanak. Sekiranya dia masih belum berupaya untuk memiliki harta yang telah diwasiatkan untuknya, harta itu boleh diterima oleh penjaga bagi penerima wasiat itu. Wisoyah sedikit berbeza dengan wasiat mahupun hibah, wisoyah menjuruskan kepada pemegang amanah untuk diserahkan kepada penerima wasiat ketika pembuat amanah tersebut masih hidup dan meninggal dunia. Wasiat pula mewasiatkan harta kepada penerima wasiat kepada waris yang masih hidup semasa pewasiat meninggal dunia, dan hibah pula bermaksud pemberian daripada orang yang masih hidup kepada golongan-golongan yang mereka kehendaki.

Rukun Wisoyah terbahagi kepada empat bahagian berikut ialah:
1. Wasiy, iaitu orang yang diamanahkan:
2. Musi, orang yang mengamanahkan (membuat amanah)
3. Muso fihi, iaitu perkara yang diamanahkan.
4. Sighah, iaitu adanya ijab dan kabul.

2.3 Definisi Wasiat

Wasiat atau wasiyyah berasal daripada perkataan Arab wasa yang bermaksud menyampaikan. Dalam kata lain, wasiat bermaksud pemberi harta oleh pemilik harta kepada orang lain yang masih hidup semasa pemberi wasiat meninggal dunia.[1] Dari segi istilah pula wasiat adalah pemberian atau sumbangan harta oleh seseorang kepada orang atau pihak yang lain setelah dia meninggal sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.[2] Seperti dalam firman Allah ta’ala yang bermaksud :

“ diwajibkan ke atas kamu apabila seorang daripada kamu itu hampir mati jika dia ada meninggalkan harta (hendakjlah dia) berwasiat untuk ibu bapa dan keluarga terdekat dengan cara yang baik, sebagai satu kewajipan atas orang yang bertakwa”. (surah al-Baqarah :180[3])

Wasiat berlaku apabila berlakunya penawaran daripada pewasiat dan ia bukanlah perjanjian sepenuhnya kerana pertama, dalam wasiat tidak sacara mutlak memerlukan penerimaan daripada penerima wasiat dan ia boleh ditarik balik oleh pewasiat selagi dia masih hidup. Kedua, perpindahan hak ke atas harta wasiat hanya berlaku setelah pewasiat meninggal dunia.

Wasiat terbahagi kepada dua iaitu, wasiat khas dan wasiat am. Wasiat khas ditujukan kepada seseorang tertentu sahaja melalui pernyataan persetujuan yang merupakan pembuktian bahawa tidak berlakunya penolakan daripada penerima wasiat kerana sebarang penolakan hendaklah dinyatakan dengan tegas. Wasiat am adalah penerima telalu ramai seperti kepentingan-kepetingan tertentu dalam masjid, madrasah dan sebagainya. Ia tidak perlu mendapat persetujuan daripada penerima-penerima kecuali sekiranya ada pihak yang mewakili mereka.

2.4 Definisi Hibah

Hibah bermakna pemberian pemberian daripada orang yang masih hidup kepada seseorang yang lain tanpa merampas atau mengabaikan hak warisnya dan saudara terdekat dan mesti merupakan pindah milik segera terhadap harta tanpa dikembalikan.[4] Dengan kata lain, ia merupakan pindah milik sesuatu harta tertentu tanpa menukarkan dengan cadangan tertentu di pihak orang yang membuat hibah dan penerimaan di pihak yang menerima hibah tersebut.

Apabila hibah dilakukan kepada saudara atau orang yang miskin, ia dianggap sedekah dan tidak boleh diambil kembali. Tetapi lain pula hibah kepada anak lelaki sendiri,yang masih kanak-kanak, ibunya boleh mengmbil kembali hibah tersebut selagi bapa masih hidup. Begitulah sebaliknya hibah kepada anak lelaki yang telah dewasa. Seperti sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“ Jika seseorang meminta balik pemberian, dia seperti seekor anjing yang menjilat ludahnya kembali. Contoh yang tidak baik ini tidak harus diikut oleh kita”

Wisoyah melibatkan pemberi wasiat kepada pemegang amanah dengan penerima wasiat. Wisoyah melibatkan pihak ketiga yang menjadi pemegang harta sementara sebelum diserahkan kepada penerima wasiat tersebut. Wasiat pula berlaku selepas kematian pewasiat harta tersebut dan ia tidak boleh diberi kepada waris kerana waris berhak mewarisi harta pusaka dan tidak semestinya mereka mewarisi harta pusaka menerusi wasiat.

Setiap orang Islam yang dewasa dan waras boleh membuat hibah dan ia dibuat mestilah tanpa paksaan atau tekanan daripada sesiapapun. Seseorang yang menghadapi maut tidak boleh membuat hibah kerana pada realitinya itu bukanlah hibah.







3. Konsep wisoyah dan amalanya di Malaysia

3.1 Pengenalan

Konsep wisoyah dan amalanya di Malaysia pada hari ini tidak menarik perhatian masyarakat terhadap perlaksanaanya. Ini kerana kefahaman masyarakat terhadap konsep wisoyah masih di peringkat pengenalan. Seperti yang tersedia maklum maksud wisoyah dan wasiat adalah berbeza dari aspek perlaksanaan. Akan tetapi konsep yang dilaksanakan merujuk kepada satu makna iaitu pengamanahan harta. Secara praktikal ianya dilihat berbeza. Namun demikian konsep wisoyah pada hari ini diperkenalkan bagi mengatasi masalah kefahaman dikalangan ahli waris selepas pihak pembuat wasiat itu meninggal dunia. Bab ini akan memberi penjelasan berkenaan dengan konsep wisoyah di dalam realiti perlaksanaan.

3.2 Perkembangan wisoyah dan faktor-faktor perlaksanaanya

Wisoyah bermaksud membuat pesanan atau mengamanahkan kepada seseorang untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu perkara selepas pemberi amanah itu meninggal dunia atau dalam ketiadaanya. Manakala wasiat pula bermaksud pemberian seseorang kepada seseorang selepas kematian pemberi tersebut.[5]

Sejarah perkembangan wisoyah telah diperkenalkan pada zaman para sahabat. Perlaksanaan pada zaman Khulafa’ Arrasyidin terdapat berlakunya peperangan. Maka amalan wisoyah pada zaman ini menjadi satu amalan bagi menyempurnakan tanggungjawab semasa ketiadaan mereka ketika berperang. Oleh itu mereka telah melantik seseorang untuk diamanahkan harta dan keluarga semasa ketiadaan mereka atau kematian mereka di dalam peperangan. Konsep wisoyah dengan ini jelas menepati perlaksanaan syarak pada zaman Kulafa’ Arrasyidin.[6]

Faktor-faktor perlaksanaan wisoyah membawa kepada beberapa situasi keadaan yang kebiasaannya mejadi amalan masyarakat pada hari ini. Antara salah satu faktor besar ialah masalah kesihatan. Faktor kesihatan merujuk kepada seseorang yang mengalami masalah kesihatan serta memungkinkan keadaan kesinambungan hidup berada pada tahap berjaga. Selain itu faktor ketiadaan orang yang membuat amanah. Hal ini merujuk apabila seseorang tersebut berada di luar kawasan pengawasan hartanya. Contohnya ialah A menetap di luar negara sedangkan harta dan keluarga berada di dalam negara.

3.3 Aplikasi pengurusan wisoyah di Malaysia[7]

Di dalam pengurusan wisoyah ianya melibatkan akad penyerahan amanah kepada pemegang amanah (executor). Oleh itu terdapat beberapa item yang diamanahkan untuk pembahagian dan pengagihan harta tersebut. Pengagihan ini boleh berlaku ketika mana pembuat amanah tersebut masih hidup atau semasa peninggalanya. Di antara perkara yang di agihkan ialah seperti berikut :
- Wasiat
- Harta Sepencarian
- Hibah
- Wakaf
- Nazar
- Hutang
- KWSP
- Lain-lain

Di dalam pengurusan wisoyah pada hari ini hanya diuruskan oleh agensi swasta yang berdaftar di bawah ARB seperti Zar Perunding Pusaka, OSK Trustees Bhd dan sebagainya. Di dalam pengurusan akad penyerahan amanah orang yang diutamakan adalah seperti waris jika berkemampuan. Jika tiada sesiapa yang dilantik maka agensi swasta akan menawarkan pihak-pihak tertentu di dalam pengurusan harta tersebut. Kebiasaanya adalah terdiri daripada peguam dan sebagainya. Di samping itu pihak yang dilantik oleh agensi akan mengambil keuntungan daripada pembahagian harta yang dibuat. Selain itu harta yang diuruskan oleh pemegang amanah (executor) akan sentiasa dikemaskinikan bagi memperbaharui harta yang dimiliki sepanjang kehidupanya sama ada harta tersebut meningkat dan menyusut.

Prosedur pengurusan wisoyah yang melibat urusan dokumentasi terdapat beberapa langkah yang diambil bagi melicinkan proses pengurusan tersebut antaranya:
1. Proses pertemuan dengan pihak pemegang amanah (executor) serta melibatkan proses akad.
2. Proses pemberitahuan maklumat harta serta pembahagian harta mengikut item yang ditetapkan. Contohnya: hutang, harta sepencarian.
3. Senarai waris akan ditentukan bagi memudahkan proses faraid.
4. Menetapkan kadar faraid mengikut harta yang dimilikki.
5. Senarai harta aset akan ditentukan.
6. Senarai tanggungan ditentukan
7. Menentukan pembahagian khas ke atas keluarga berdasarkan persetujuan semua pihak.

Kaedah mengemaskini harta adalah merupakan faedah yang terdapat di dalam pengurusan wisoyah. Di Amanah Raya Berhad tidak menawarkan perhidmatan yang sedemikian. Ini kerana pihak berkenaan tidak mahu menanggung beban di dalam mengemaskini harta, perlantikkan pemegang amanah dan sebagainya. Di ARB hanya menguruskan harta ketika mana pihak pembuat wasiat telah meninggal dunia. Kelemahan yang timbul di sini ialah pertambahan harta si mati tidak diketahui semasa di dalam tempoh selepas wasiat itu dibuat. Sebagai contohnya ialah penyusutan KWSP selepas pembelian rumah oleh si mati selepas wasiat dibuat. Harta yang difokuskan hanya tertumpu ketika mana wasiat itu dibuat. Permasalahan demikian mewujudkan lebihan dan masalah yang bersangkutan dengannya.


3.4 Wasiat di dalam realiti permasalahan

Wasiat adalah berasal daripada katau suruh “wassa” yang membawa erti memerintahkan, menasihatkan atau menjanjikan. Mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa ia berasal dariapada kata sifat “wassa” yang bererti menghubungkan atau menyampaikan.[8] Islam mensyariatkan perlaksanaan wasiat adalah merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Dari segi istilah pula wasiat adalah meupakan satu pemberian atau sumbangan harta oleh seseorang kepada seseorang yang lain setelah dia meninggal sama ada melalui ucapan dan penulisan yang disaksikan oleh dua orang.[9] berdasarkan istilah berikut dapat diperhatikan bahawa Islam memandang berat terhadap aspek wasiat di dalam sesuatu pemilikkan harta. Kemaslahatan yang diperolehi dari aspek ini dapat mewujudkan perlaksanaan secara Keadilan berlandaskan syarak.[10]

Di dalam persoalan harta ianya dapat dirungkaikan kepada berberapa sifat. Iaitu sesuatu harta itu mestilah bersifat bermanfaat serta bernilai. Ini kerana sifat harta itu sendiri secara urufnya mempunyai nilai akan tetapi yang membezakannya adalah sifat kemanfaatannya. Selain itu harta adalah bersifat dimiliki dan mempunyai sifat alih dan tidak alih. Ia bertujuan bagi mengkelaskan sesuatu harta itu agar ianya bersifat sempurna. Dan akhir sekali harta itu adalah bersifat sah syarak. Ini kerana bagi memastikan sifat harta yang dijelaskan di bawah pandangan Islam dapat dipastikan dan dimanfaat secara syarak. Hukum syarak telah menetapkan bahawa wasiat tidak boleh diwarisi oleh ahli warisnya, ini kerana ahli waris telah ditetapkan pembahagian harta melalui hukum faraid. Oleh itu wasiat hanya layak kepada pihak-pihak yang selain dari ahli warisnya.[11] Ini diperkukuhkan lagi berdasar sabda Rasulullah S.A.W. dari hadis riwayat sunan Abu Daud yang telah memansuhkan ayat Al Quran berkenaan dengan al-mawaris dari surah al-Nisa’ (4):11.
Konsep wasiat pada hari ini secara realitinya dilihat bercanggah sengan tuntutan syarak. Pentadbiran wasiat di Malaysia lebih merujuk kepada sistem undang-undang Inggeris atau lebih dikenali sebagai sistem Comman Law. Oleh itu pengurusan wasiat pada hari ini telah mewujudkan kepincangan dari aspek perlaksanaannya secara syarak. Di dalam pentadbiran wasiat ianya melibatkan campur tangan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di dalam menguruskan wasiat tersebut. Ini kerana di dalam pengurusan wasiat ianya melibatkan pengurusan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Persoalannya di sini adakah wajar bagi orang Islam di dalam hal-hal yang berkaitan dengan syarak seperti wasiat melibatkan pengurusan di Mahkamah Sivil serta sejauhmanakah Mahkamah Syariah memainkan peranan yang penting terhadap pentadbiran bagi orang-orang Islam. Secara amnya dari kaca mata masyarakat berpendapat bahawa setiap pengurusan yang melibatkan syarak perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah. Akan tetapi hal sedemikian berlaku sebaliknya.

Di dalam permasalahan ini ianya melibatkan skop yang begitu luas sehingga melibat bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di dalam pengurusan wasiat. Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Butiran 4(2) di dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan berkenaan dengan “pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat mentadbir pusaka”. Ini menunjukkan Mahkamah Tinggi Sivil Mempunyai bidangkuasa di atas pengurusan wasiat. Dalam pada itu Senarai Negeri (senarai 2) dalam butiran 1 memperuntukkan berkenaan dengan “Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat”.[12] Hal sedemikian menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah turut mempunyai bidangkuasa dalam hal tersebut.

Berdasarkan kedua-dua Senarai di bawah Jadual Kesembilan terdapat perbezaan di dalam aspek pengurusan wasiat. Sebagai contohnya apabila seseorang hendak mentadbir harta prosedur utama yang perlu dipatuhi adalah merujuk kepada Mahkamah Sivil ini kerana bagi mendapatkan pengesahan surat tadbir harta yang dipohon oleh pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad (ARB) manakala prosedur yang kedua ianya melibatkan Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan pengesahan bagi perwarisan harta wasiat tersebut.[13]

Persoalan yang timbul di sini ialah. Mengapakah Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa di dalam mengeluarkan surat kuasa tersebut dan mengapakah ianya perlu melibatkan Mahkamah Sivil sedangkan pengurusan tersebut adalah di bawah pengurusan orang Islam. Jawapan daripada persoalan ini adalah berpunca daripada dua aspek iaitu berkenaan dengan peruntukkan itu sendiri serta fikrah Hakim yang mengikat keputusan-keputusan mahkamah terkemudian.

Berkenan dengan peruntukkan dapat diperhatikan di bawah peruntukkan Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan perlembagaan persekutuan menyatakan berkenaan dengan “pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat mentadbir pusaka” berbeza dengan Senarai Negeri (senarai 2) dalam butiran 1 memperuntukkan berkenaan dengan “Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat”. Perbezaan yang jelas diperhatikan di sini Mahkamah Tinggi Syariah hanya berbidangkuasa di dalam aspek pewarisan sahaja, ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah dilihat sebagai Rubber Stamp di dalam pengurusan wasiat. Manakala senarai persekutuan di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil amnya mempunyai bidangkuasa mengeluarkan surat kuasa tadbir (pemegang amanah) [14]

Permasalahan yang berikutnya adalah berkenaan dengan peruntukkan Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagaian) 1959 yang melibatkan orang bukan Islam dan orang Islam. Peruntukkan yang sedemikian diaplikasikan di Mahkamah Sivil ke atas orang-orang Islam tertakluk kepada hukum faraid. Peruntukkan yang sedemikian telah menghadkan bidangkuasa perwarisan ke atas Mahkamah Syariah.[15]

3.5 Pengurusan Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam

Pengurusan pentadbiran harta pusaka bagi orang-orang Islam pada hari ini lebih difokuskan dari aspek penglibatan bidangkuasa Mahkamah Sivil di dalam pengurusan harta pusaka bagi orang-orang Islam. Permasalahan yang timbul di sini ialah seseorang tersebut perlu merujuk kepada dua Mahkamah di dalam pengurusan ini. Iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.[16]

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagaian) 1959 menjadi kekangan utama di dalam merealisasikan Perkara 121 (1A) yang telah digubal pada tahun 1988.[17] Walau bagaimanapun pindaan tersebut tidak memberi kesan yang positif di dalam pengasingan bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah. Peruntukkan yang tersedia ada pada hari ini seolah hanya melepaskan batuk ditangga. Hal sedemikian dapat diperlihatkan berdasarkan kes Jumaaton dan Raja Delila lwn Raja Hizaruddin.[18]

Selain itu terdapat kekangan yang melibatkan aspek penama di dalam satu pelaburan. Mengikut undang-undang yang ada penyimpan-penyimpan harta tersebut dikehendaki meletakkan penama atau beberapa orang penama yang akan mendapat faedah dari harta itu selepas berlakunya kematian penyimpan. Di dalam aspek penamaan ianya melibatkan dua jenis harta iaitu;[19]

1) Harta Simpanan di dalam institusi Kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Nasional dan Tabung Haji dan Sebagainya; dan

2) Wang insurans nyawa yang ditinggalkan oleh si mati.

Di dalam permasalahan ini penama yang diaplikasikan pada hari ini adalah bertentangan perlaksanaan syarak. Ini kerana wang simpanan si mati adalah dikira sebagai harta pusaka dan hendaklah difaraidkan mengikut syarak. Adapun penama yang diletakkan di bawah wang simpanan ini seharusnya diaplikasikan sebagai “wasi” (pemegang amanah) bukan sebagai penerima wasiat.[20]

Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam di dalam mesyurat Majlis Raja-Raja telah mengusulkan beberapa kenyataan yang telah diluluskan supaya penama di dalam wang simpanan tersebut diaplikasikan sebagai “wasi” (pemegang amanah). Namun demikian Mahkamah Sivil hanya bersifat mendiamkan diri. Ini kerana Mahkamah-Mahkamah di Malaysia terikat dengan prinsip duluan mengkat atau binding precedent dengan merujuk kepada kes Re Man bin Minhat.[21] Oleh yang demikian bagi menilai permasalahan ini perkara yang penting diperlihatkan di sini ialah berkenaan dengan peruntukkan itu sendiri dan fikrah hakim di dalam menetapkan sesuatu penghakiman.

3.6 Kes-kes yang berkenaan

Berdasarkan kes Jumaaton dan Raja Delila lwn Raja Hizaruddin[22] dapat diperlihatkan berkenan dengan aspek kekangan di dalam bidang kuasa Eksklusif Mahkamah Syariah. Pemohon adalah terdiri darpada dua orang balu dan 10 orang anak telah memohon atas persetujuan sama kuasa pentadbiran estet si mati di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur. Amanah Raya Berhad adalah pentadbir estet tersebut secara terhad selama 4 bulan.

Dua orang daripada waris beliau telah memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur agar harta peninggalan tersebut diagih mengikut perlaksanaan faraid. Akan tetapi permohonan tersebut ditolak atas alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa membicarakan kes tersebut. Kes ini telah menjadikan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah tidak memberikan kesan yang positif. Selain itu Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1959 menjadi kekangan di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.





















4. Kesimpulan

Konsep wisoyah dan realiti perlaksanaannya pada hari ini dari sudut amalannya dilihat berada di dalam keadaan yang dilema. Di sebalik itu usaha yang dilaksanakan bagi mengatasi permasalahan ini hanya sekadar dipandang remeh. Amanah Raya Berhad masih lagi tidak mampu membawa perubahan yang sedemikian ini mengurangkan kefahaman masyarakat di dalam menguruskan harta melalui konsep wisoyah. Berdasarkan tajuk kerja ini dapat disimpulkan bahawasanya perlaksanaan wasiat di Malaysia pada hari ini secara praktisnya menyentuh bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah di dalam perkara 121 (1A). Kekangan ini adalah disebabkan beberapa peruntukkan yang menjadi isu perbualan di dalam permasalahan ini. Secara realitinya seseorang individu perlu berhadapan dengan dua mahkamah di dalam pengurusan wasiat. Mahkamah yang dimaksudkan adalah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Bagi mendapat surat kuasa tadbir di dalam perkara yang melibatkan harta pusaka. Manakala Mahkamah Syariah hanya sekadar menentukan pewarisan bagi orang yang berhak menerima harta pusaka tersebut.

Selain itu terdapat kekangan yang melibatkan senarai 1 (Senarai Persekutuan) dan senarai 2 (Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan. Di dalam senarai 1 Senarai Persekutuan terdapat perkara yang melibat pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat mentadbir pusaka berbeza dengan Senarai Negeri (senarai 2) dalam butiran 1 memperuntukkan berkenaan dengan “Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat”. Jelas menunjukkan bahawasanya bagi menguruskan harta pusaka ianya melibatkan pengurusan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Kefahaman masyarakat adalah penting di dalam pengurusan wisoyah. Oleh yang demikian secara amalannya konsep wisoyah ini tidak dilaksanakan dengan menyeluruh di atas sebab masalah kefahaman masyarakat. Pada hari ini terdapat harta yang masih tidak dituntut di dalam lingkungan RM 3 bilion.[23] Ini disebabkan oleh permasalahan di dalam pengurusan di ARB yang masih tidak melaksanakan konsep wisoyah ini. Konsep wisoyah ini membantu masyarakat bagi mengelakkan perkelahian dan rasa tidak puas hati dikalangan waris simati. Ini kerana terapat harta yang tidak dapat dikesan selepas wasiat dibuat. Maka di atas sebab perkelahian ini harta tersebut tidak dituntut dan diuruskan dengan sempurna serta melibat ketidakfahaman masyarakat di dalam pengurusan wasiat.
























5. Rujukan

1. Abdul rashid haji abdul latif. 1986. Wasiat dalam Islam. Edisi pertama. Kuala lumpur: universiti kebangsaan malaysia.

2. Ridzuan awang.1994. Undang-undang tanah Islam. Cetakkan pertama. Kuala lumpur: dewan bahasa dan pustaka.

3. Tajul aris ahmad bustami dkk. 2005. Kaedah perundangan bidangkuasa dan tatacara mahkamah syariah. Cetakkan pertama. Kuala lumpur: dewan bahasa dan pustaka.

4. Abdur rahman i.doi. 2003. Undang-undang syariah. Cet.2. Dewan bahasa dan pustaka : kuala lumpur.

Akta probet dan pentadbiran 1959

Akta harta pusaka kecil (pembahagian) 1959

Syarikat pemegang amanah harta wasiat. 2007. http://www.osktrustees.com.my/ html. 05 Julai 2007

wasiat. 2007. www.mahsuri.com.my. 05 Julai 2007.

Prosedur pengurusan wasiat. 2007. www.arb .com.my. 5 Julai 2007.

10. Abdul monir yaacob. 1999. Pentadbiran harta menurut Islam. Cetakkan pertama. Kuala lumpur: institut kefahaman Islam malaysia.

11. Perlembagaan persekutuan. Hingga 12 september 2003. Bandar damansara perdana petaling jaya. International law book service.


12. Abdul Aziz bin Hassan. 2006. The Wisoyah Doctrine. The 4E Journal. August.


13. Al Syeikh Shamsudin Muhammad bin Ahmad al Syarbiniyal Khatib. 977 H. Mughni al Muhtaj. Jilid Ketiga. Lubnan.



[1] ‘Abdur Rahman I.Doi. 2003. Undang-undang Syariah. Cetakkan 2. Dewan Bahasa Dan Pustaka : Kuala Lumpur. Hlm 412.
[2] Abdul rashid Hj. Abdul Latif.1986. Wasiat Dalam Islam. Universiti kebangsaan Malaysia: Bangi. Hlm. 14.
[3] Surah al-Baqarah :180
[4]Abdul rashid Hj. Abdul Latif. 1986. Op. Cit. Hlm. 419
[5] Al Syeikh Shamsudin Muhammad bin Ahmad al Syarbiniyal Khatib. 977 H. Mughni al Muhtaj. Jilid Ketiga. Lubnan. Hlmn 39
[6] Abdul Aziz bin Hassan. 2006. The Wisoyah Doctrine. The 4E Journal. August.
[7] Abdul Aziz bin Hassan. 2006. The Wisoyah Doctrine. The 4E Journal. August
[8] Abdul Rashid Haji Abdul Latif. 1986. Wasiat Dalam Islam. Edisi Pertama. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlmn. 14.
[9] Ibid.
[10] Abdul monir yaacob. 1999. Pentadbiran harta menurut Islam. Cetakkan pertama. Kuala lumpur: institut kefahaman Islam malaysia. Hlmn. 84
[11] Ridzuan Awang.1994. Undang-Undang Tanah Islam. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 362.
[12] Tajul Aris Ahmad Bustami dkk. 2005. Kaedah Perundangan Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 51.
[13] Ridzuan Awang. 1994. Undang-Undang Tanah Islam. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 353.
[14] Tajul Aris Ahmad Bustami dkk. 2005. Kaedah Perundangan Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 47.
[15] Ridzuan Awang. 1994. Undang-Undang Tanah Islam. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 348.
[16] Tajul Aris Ahmad Bustami dkk. 2005. Kaedah Perundangan Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn 37.
[17] Ibid. Hlmn 40
[18] [ 1998 ] 6 MLJ 557
[19] Ridzuan Awang. 1994. Op Cit. Hlmn. 373.
[20] Ridzuan Awang.1994. Undang-Undang Tanah Islam. Cetakkan pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 372.
[21] [ 1965 ] 2 MLJ 1
[22] [ 1998 ] 6 MLJ 557
[23] Syarikat pemegang amanah harta wasiat. 2007. http://www.osktrustees.com.my/ html. 5 Julai 2007

1 comment:

SESIAPA YANG LEBIH ARIF TENTANG BIDANG INI, TOLONG BAGI TEGURAN YANG MEMBINA, APA YANG DITULIS HANYALAH PENDAPAT SAYA SAHAJA.
WALLAHU'ALAM